KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Ekosistem rantaian agro makanan negara terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Program pembekalan dan Pengedaran Agro Makanan Negara (RANTAI).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, program yang diterajui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), bertujuan meningkatkan kecekapan sistem pengedaran selain memastikan ketersediaan bekalan makanan mencukupi di pasaran.
"Di Sabah dan Sarawak, antara cabaran utama yang dihadapi adalah aspek infrastruktur, khususnya melibatkan sistem logistik. Tanpa jaringan logistik yang mantap, hasil pembangunan tidak dapat dinikmati sepenuhnya, sama ada di peringkat negara mahupun ASEAN. Sehubungan itu, salah satu inisiatif baharu yang dicadangkan di bawah RMK-13 ialah Program RANTAI. Program ini menjadi simbol komitmen FAMA untuk memperkukuhkan ekosistem rantaian agromakanan negara."
Beliau menyatakan perkara tersebut bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Tambahnya, program RANTAI juga akan memacu tiga strategi utama kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara di bawah RMK-13.