PUTRAJAYA, 18 Julai – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memacu agenda peralihan tenaga negara apabila meluluskan pembangunan bagi pelaksanaan 48 projek tenaga boleh baharu (TBB) dengan kapasiti keseluruhan sebanyak 181.25 megawatt (MW), melalui Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan campuran TBB dalam pembekalan elektrik negara.
PETRA menerusi kenyataan memaklumkan, pelaksanaan projek berkenaan dijangka akan menjana nilai pelaburan berjumlah RM1.87 bilion serta bakal membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2028.
"Projek-projek ini melibatkan tiga sumber utama iaitu biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil dan diluluskan di bawah di bawah mekanisme Tarif Galakan atau Feed-in Tariff (FiT)." katanya.
Jelas Petra lagi, dalam tempoh 15 Januari hingga 19 Februari 2025, sebanyak 59 permohonan yang diterima dan daripada jumlah itu, 48 permohonan berjaya memenuhi semua kriteria teknikal dan kewangan yang ditetapkan.
Kelulusan tersebut merangkumi 20 projek (30.93MW) untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biogas, 8 projek (53.50MW) untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber biojisim dan 20 projek (96.82MW) untuk penjanaan tenaga elektrik hijau daripada sumber hidrokuasa kecil.
PETRA menjelaskan bahawa pelaksanaan projek ini adalah komitmen kerajaan untuk meningkatkan kapasiti campuran TBB kepada 70 peratus menjelang 2050.
"Langkah ini akan memperkukuh daya harap bekalan eletrik negara melalui kepelbagaian sumber penjanaan tenaga hijau yang lebih konsisten dan mesra alam", tambah kenyataan itu.
PETRA yakin, inisiatif itu bakal menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB yang lebih progresif, seiring dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemampanan, inovasi serta kesejahteraan bersama.