LABUAN, 18 Julai - Tiada kenaikan harga barangan di Labuan disebabkan oleh pelaksanaan semakan kadar dan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Labuan Junaidah Arbain berkata di Labuan, sebanyak 850 premis telah diperiksa dan 26 notis pengesahan maklumat barangan telah dikeluarkan untuk dianalisis.
Ia berdasarkan pemeriksaan penguatkuasaan Op Kesan 4.0 yang dilakukan di seluruh negara sejak 1 Julai lalu.
Ini bagi memastikan para peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sama ada tanpa asas yang munasabah atau dengan melakukan pencatutan berasaskan pelaksanaan SST.
"Kita ada menerima, bermula 1 Julai itu, sebenarnya satu aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga, tetapi setelah semakan dibuat, didapati kenaikan harga itu bukanlah berpunca daripada caj SST," katanya.
Katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melakukan pemeriksaan penguatkuasaan Ops Kesan 4.0 di dua pasar raya sekitar bandar Labuan.