fb fb fb fb fb

KPKT luluskan peruntukan lebih RM146 juta untuk 24 projek pembangunan di Kelantan

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming/ BERNAMA

KOTA BHARU, 18 Julai - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM146.22 juta bagi pelaksanaan 24 projek pembangunan infrastruktur dan kerja baik pulih rumah di seluruh Kelantan tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada Program Sentuhan Kasih 3.0 dan disalurkan menerusi Rolling Plan 5 (RP5) Tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), sejajar dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat.

Menurut beliau, peruntukan terbesar iaitu RM69.37 juta disalurkan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan 855 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di 14 kawasan Parlimen.

Selain itu, sebanyak RM13.95 juta diperuntukkan bagi kerja baik pulih 389 unit rumah dan pembinaan 27 unit rumah di kawasan bandar, termasuk penyelenggaraan 10 buah rumah ibadat bukan Islam (RIBI) di seluruh negeri.

Manakala, sebanyak RM12.7 juta disediakan bagi melaksanakan projek pembinaan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) serta Program Residensi Rakyat (PRR) di lokasi terpilih.

“Hampir RM70 juta untuk Rumah Mesra Rakyat di Kelantan, kita akan membina 855 unit Rumah Mesra Rakyat, kos pembinaan RM75,000... namun rakyat hanya membayar RM50,000. Maka, dengan kata lain setiap unit rumah Kerajaan MADANI beri angpau besar RM20,000 satu orang. Harga RM75,000 itu, rakyat bayar RM50,000... jika tidak bayar sekali gus, boleh juga bayar secara ansuran hanya RM300 sebulan, boleh bayar 16 tahun, memang harga Rahmah, tiada kos faedah atau 'interest', bebas riba, inilah produk KPKT", katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Lawatan ke Program Baik Pulih Rumah di Kampung Penambang, Kota Bharu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Hilmi Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) KPKT, Datuk Mohd Zamri Mat Zain, Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Azi Rahimee Mohamed.

Pada majlis ini beliau turut menyampaikan kunci replika menerusi Inisiatif Perumahan KPKT kepada penerima terpilih.

Tambahnya, sebanyak RM30.58 juta diperuntukkan menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan bagi pelaksanaan 95 projek pembangunan termasuk pembinaan Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh, Pasar Besar Kuala Krai dan kemudahan awam di Pantai Cahaya Bulan.

Katanya, menjadi komitmen berterusan KPKT untuk bekerjasama dengan semua pihak berkuasa tempatan tanpa mengira fahaman politik dalam memastikan pembangunan yang lestari dan inklusif untuk rakyat.

ROSLINA BINTI DIN