KAJANG, 3 Jun- Seramai 44 banduan dibebaskan menerusi Program Bebas Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Daripada jumlah itu, 39 banduan berlesen (OBB) dari Penjara Kajang manakala lima lagi dari Penjara Wanita Kajang.
Pengarah Penjara Kajang, Mohd Sharin Sabtu berkata PBSL menjadi inisiatif kepada OBB menjalani kehidupan luar penjara bersama keluarga selain berpeluang untuk bekerja.
"Kami beri mereka peluang untuk menjalani kehidupan di luar bersama masyarakat selepas mengikuti proses pemulihan, sehingga layak menyertai PBSL.
Mereka akan ditempatkan bersama keluarga atau majikan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan khidmat mereka untuk memberi peluang kedua kepada mereka," katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Ihsan Madani Kepulangan Dinanti Peringkat Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang, di sini.
Tambahnya, seramai 17 OBB kembali bersama keluarga manakala 19 OBB lagi menerima tawaran pekerjaan dengan syarikat swasta.
Sementara itu, tiga OBB ditempatkan di Rumah Komuniti Peluang Kedua dan Rumah Kepercayaan dan selebihnya ditempatkan di Rumah Perantaraan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pengurus sebuah restoren, Tuan Swaifulddin Tuan Mustapa, 34 tahun berkata beliau amat menggalakan penglibatan OBB berkerja di perusahaannya.
"Lebih 30 OBB pernah berkerja sejak tahun lepas. Sebagai majikan, urusan pengambilan mereka amat mudah.
Kami berikan peluang kedua untuk mereka bekerja, mana yang menunjukkan prestasi baik akan diserap manakala yang sebaliknya akan ditamatkan kontrak. Namun, secara keseluruhannya amat memuaskan, setakat ini, " ujarnya.
Sementara itu, bagi Sakinah (bukan nama sebenar), 33 tahun, berharap agar suaminya dapat menghabiskan masa lebih lama bersama keluarga dan anak-anak, setelah keluar dari penjara.
"Saya amat bersyukur sebab kami sudah lama terpisah terutama dengan anak-anak.
Saya berharap agar perkara ini (masuk ke penjara) tidak akan berulang dan kami boleh kembali bersama untuk membesarkan anak-anak," jelas Sakinah.
Menurut OBB Ani (bukan nama sebenar), 32 tahun dan Mina (bukan nama sebenar) ,33 tahun, PBSL merupakan peluang terbaik buat mereka memperbaiki diri daripada kesilapan yang dilakukan sebelum ini.
"Saya sedih, dalam masa sama gembira. Saya berharap peluang ini dapat dimanfaat sepenuhnya dan sebaik mungkin," kata Ani.
"Saya tidak boleh gambarkan perasaan gembira itu, memandangkan saya ibu tunggal dengan tiga orang anak.
Saya sujud syukur sebab diberi peluang kedua bersama anak-anak sempena Hari Raya Aidiladha. Saya akan cuba jadi ibu yang terbaik buat mereka," ujar Mina.
Berdasarkan rekod, seramai 687 OBB dari Penjara Kajang serta 62 dari Penjara Wanita Kajang dibebaskan bagi menjalani pemulihan dalam komuniti, setakat Januari sehingga Mei 2025.