PUTRAJAYA, 3 Jun – Polisi Pendigitalan Data akan dikeluarkan Kementerian Digital selewat-lewatnya bulan hadapan bagi menyokong penguatkuasaan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864)
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, polisi itu menjadi panduan utama pelaksanaan pendigitalan data, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
“Ini penting untuk kita berjaya dalam bidang AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya. Data yang kita ada perlu dalam bentuk digital. Banyak data masih wujud dalam bentuk analog seperti gambar, audio atau campuran. Soalnya, bagaimana kita boleh digitalkan data itu supaya boleh dimanfaatkan menggunakan teknologi khususnya AI.
“Saya beri tempoh tiga bulan kepada Jabatan Digital Negara untuk menyediakan cadangan tersebut. Jika bukan bulan ini, saya harap selewatnya bulan Julai, dan saya akan bawa ke Kabinet selepas itu,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Perkongsian Data Negara Bilangan 1 Tahun 2025, di Putrajaya.
Tambah Gobind, polisi itu merangkumi aspek penting seperti tadbir urus kualiti data, etika keselamatan, penggunaan teknologi penyimpanan dan pengurusan data, serta pembudayaan digital dalam urusan pentadbiran.
Pelaksanaan polisi akan diperluas ke peringkat negeri dan pihak berkuasa tempatan, untuk memastikan kualiti perkongsian data yang lebih konsisten dan menyeluruh di semua peringkat pentadbiran.
Langkah itu mencerminkan komitmen Malaysia menghadapi cabaran era digital secara inklusif dan mampan, selaras dengan tema Kementerian Digital iaitu 'Memajukan Masa Depan Digital yang Dikongsi Bersama' dan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025.