fb fb fb fb fb

4 pelajar MRSM Kuala Lipis terlibat kemalangan di Bentong

BENTONG, 5 Februari- Empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Lipis dan pemandu bas persiaran mengalami kecederaan selepas bas dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di Kilometer 19 Jalan Bilut-Raub, di sini, malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bas terbabit membawa dua orang guru lelaki, seorang guru perempuan, 15 pelajar lelaki, 12 pelajar perempuan dengan seorang pemandu.

Menurutnya, pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 8.50 malam.

Susulan itu, sembilan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah van Emergency Medical Rescue Service (EMRS).

Berdasarkan siasatan awal, bas persiaran itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis setelah selesai program lawatan di Kuala Lumpur.

(Foto fail)

Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian, bas persiaran jenis Hino itu telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik.

Empat mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut, manakala mangsa yang tidak mengalami kecederaan dihantar ke MRSM Kuala Lipis menaiki bas lain.

Media Baharu