fb fb fb fb fb

4 inisiatif baharu untuk rakyat Melaka

AYER KEROH, 19 April- Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan empat inisiatif baharu bagi tujuan mengurangkan beban rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, antara empat inisiatif itu adalah parkir percuma selama seminggu bermula 1 syawal bagi semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Melaka.

Selain itu, turut diperkenalkan adalah pemotongan 50% bagi lesen F1 bermula Jun hingga akhir tahun melibatkan 6,223 pelesen di Melaka.

Inisiatif lain adalah melupuskan kesemua kompaun kesalahan parkir kereta dan penjaja kecil bagi tarikh bermula 1 hingga 30 Mac sempena pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri Melaka.

Seterusnya, menghapuskan caj perkhidmatan atau denda lewat cukai bagi mereka yang menyelesaikan keseluruhan bayaran cukai pintu semasa dan denda lewat.

Beliau berkata, inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan buat kerajaan negeri sebanyak RM14.116 juta.

"Keseluruhan tunggakan maksudnya mereka tidak boleh bayar sebahagian sahaja, mereka perlu bayar keseluruhan tunggakan denda itu.

"Kita batalkan kalau mereka bayar penuh. Itupun kalau mereka semua bayar, kita kehilangan RM14 juta tapi saya menggalakkan supaya mereka bayarlah kalau tidak ia akan jadi lebih mahal lagi.

(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh)

"Hari raya saya bagi parkir percuma selama tujuh hari. Maka tujuh hari tu tiada saman. Mereka boleh parkir di mana-mana sahaja di Melaka ini tanpa perlu bayar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam negeri Melaka, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Mengulas lanjut katanya, kesemua inisiatif ini melibatkan implikasi kewangan bernilai RM16.399 juta sekali gus meletakkan ia di bawah Pakej Bantuan Rahmah dan Prihatin Rakyat.

Media Baharu