fb fb fb fb fb

Janaan sampah dijangka meningkat berbanding Ramadan - E-Idaman

KANGAR, 19 April- Syarikat Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, E-Idaman Sdn Bhd menjangkakan jumlah janaan sampah menjelang Aidilfitri di Perlis tahun ini, meningkat dua kali ganda berbanding ketika Ramadan.

Sepanjang Ramadan, dianggarkan 4.7 tan janaan sampah terhasil berikutan pembukaan bazar Ramadan dan kedai makan.

Menurut Exco Negeri, Fakhrul Anwar Ismail bagi memastikan keselesaan penduduk, E-Idaman Sdn Bhd akan melakukan Operasi Khas pada malam Aidilfitri dan hari pertama Aidilfitri.

Sejumlah 22 jentera akan digunakan sepanjang operasi, melibatkan 100 petugas serta kontraktor yang dilantik.

"Pihak E-Idaman juga akan melakukan pemantauan khususnya di beberapa lokasi tumpuan atau lokasi panas yang dianggarkan akan menjana sampah yang tinggi khususnya dalam suasana Aidilfitri pada tahun ini.

"Oleh kerana itu, tong-tong sampah tambahan akan ditempatkan di lokasi-lokasi tersebut," katanya.

(Fakhrul Anwar Ismail)

Beliau ditemui pada Ops Pembersihan E-Idaman Sempena Aidilfitri di Taman Cahaya, di sini.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar lebih berhemah dalam menyediakan juadah Aidilfitri bagi mengelak pembaziran dan amalkan kitar semula.

Media Baharu