fb fb fb fb fb

Anggota JPJ Selangor menyamar penumpang bas

SHAH ALAM, 19 April- Seramai 40 anggota dan pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor digerakkan bagi meneruskan taktik penyamaran sebagai penumpang bas sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri (Ops HRA) 2023 bermula semalam hingga 27 April ini.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata kaedah itu akan dilaksanakan selama 24 jam di kesemua destinasi bagi memantau kelakuan pemandu dan kesalahan yang dilakukan.

Jelasnya, tindakan saman akan terus diambil terhadap pemandu yang didapati melakukan kesalahan.

"Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemandu kenderaan perkhidmatan awam memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi pemanduan melebihi 300km atau 4 jam perjalanan, tatakelakuan pemandu (merokok dan tidak memakai kasut), penggunaan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan semasa memandu dan tiada lesen PSV," katanya.

(Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat)

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Ops HRA 2023 peringkat negeri Selangor di Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam, di sini hari ini.

Jelasnya lagi, bermula 14 hingga 17 April lalu, Pra Ops Hari Raya melibatkan dua pemeriksaan bas di Depoh Sani Express Klang Sentral dan Depoh Konsortium Transnasional Berhad telah dilakukan.

Operasi pemeriksaan bas merupakan antara strategi penguatkuasaan JPJ dalam tempoh Ops HRA 2023.

JPJ mengambil pendekatan advokasi dan penguatkuasaan kepada semua pengusaha bas untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ supaya perjalanan ke destinasi sentiasa selamat.

Media Baharu