fb fb fb fb fb

3R tidak sepatutnya dipolitikkan, cipta jurang yang lebih besar antara kaum- Wan Rosdy

(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

PEKAN, 2 Ogos- Isu gama, bangsa dan institusi Raja (3R) tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia hanya akan mencipta jurang yang lebih besar antara kaum.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata semua rakyat Malaysia perlu menerima hakikat bahawa negara ini dibina oleh masyarakat majmuk.

Menurut beliau, tumpuan seharusnya terarah kepada usaha untuk membina negara dengan ekonomi yang berkembang maju.

"Kita tahu bahawa suatu ketika dulu negara kita dari segi ekonominya di rantau Asia Tenggara adalah negara yang paling berkembang dan sekarang kita dapat tahu bahawa negara yang dahulunya bawah daripada kita dari segi ekonominya sekarang telah mendahului. Negara kita banyak sangat fokus kepada isu politik yang berpanjangan. Jadi sudah sampai masanya untuk kita sama-sama memikirkan bagaimana nak bawa negara ke arah lebih maju untuk rakyat di negara kita," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang 2023 di Dataran Bandar DiRaja Pekan, semalam.


(Datuk Seri Wan Rosdy pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pahang 2023 di
Dataran Bandar DiRaja Pekan, semalam)

Jelas Wan Rosdy lagi, kemerosotan ekonomi negara dan negeri akan menjejaskan rakyat, sekali gus menyebabkan hutang negara bertambah, hilang peluang pekerjaan dan kadar pengangguran akan semakin meningkat.

Justeru, beliau berharap pemimpin yang telah dipilih rakyat melalui pilihan raya perlu mengamalkan politik matang, serta merangka strategi terbaik untuk membina dan membawa negara ke hadapan supaya setaraf dengan negara maju lain.

Media Baharu