KUALA LUMPUR, 25 November - Bermula 2024 hingga September lepas, kerajaan meluluskan RM1.7 juta melibatkan 394 permohonan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) akibat serangan hidupan liar.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan bagi kawasan Parlimen Gerik pula, 36 permohonan lengkap telah diterima tahun lepas dan daripada jumlah itu, 34 permohonan diluluskan.
Manakala 37 permohonan lengkap telah diterima dan diluluskan dengan jumlah bantuan sebanyak RM186,500 bagi tahun ini sehingga September.
"Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia memandang serius isu kerugian yang dialami pemilik kebun dan penternak akibat kemusnahan tanaman atau ternakan yang disebabkan oleh hidupan liar, termasuk di Parlimen Gerik.
"Bantuan Kerugian Hidupan Ternak (BKHT) merupakan bantuan kewangan secara one-off yang diberikan kepada kumpulan sasar. Pampasan ini diberikan kepada pemilik kebun dan penternak yang mengalami kerosakan atau kemusnahan harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob berkenaan status pampasan wajar yang akan diberikan kepada pemilik kebun dan penternak di kawasan Parlimen Gerik yang tanaman dan ternakan mereka dimusnahkan hidupan liar.