fb fb fb fb fb

387 dilantik MPKK seluruh Perlis

387 dilantik sebagai Pengerusi dan Setiausaha MPKK bagi tempoh 1 November 2023 hingga 31 Disember 2025

KANGAR, 7 November - Seramai 387 orang mewakili kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri Perlis dilantik sebagai Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) bagi tempoh 1 November 2023 hingga 31 Disember 2025.

Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) adalah penjenamaan semula daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sebelum ini.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata mereka yang dilantik akan bertindak sebagai pemudahcara dan penghubung antara Kerajaan Negeri dengan masyarakat setempat dan menjadi perantara di peringkat akar umbi yang akan menyalurkan sebarang permasalahan aduan atau cadangan kepada pihak Kerajaan Negeri dan Agensi Kerajaan berkaitan.

Mereka juga memainkan peranan membantu Kerajaan Negeri merancang dan melaksanakan pelan pembangunan kampung dengan penglibatan komuniti setempat ke arah mewujudkan kampung yang maju dan sejahtera.

"Pengerusi serta Jawatankuasa MPKK turut berperanan membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan matlamat pembangunan desa seperti pembasmian kemiskinan, pemodenan desa dan kemajuan dalam pembangunan dapat dicapai serta memberikan kerjasama kepada pihak keselamatan, jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk memelihara ketenteraman di kampung dan sentiasa mengambil berat terhadap soal kebajikan dan keselamatan daripada segi salah guna dadah, bencana alam, banjir, kebakaran dan lain-lain," kata Mohd Shukri pada Majlis Pentauliahan Pengerusi dan Setiausaha Majlis Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (MPKK) di Dewan 2020, di sini.

Kesemua MPKK yang dilantik diharap dapat memainkan peranan aktif dalam menyampaikan dasar-dasar Kerajaan Negeri seperti Kempen Perlis Bersih dan Sihat, Perlis Go Digital dan Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dan menjadi contoh tauladan baik serta dapat memainkan peranan sewajarnya selaku penghubung antara rakyat di kampung dengan Kerajaan Negeri.

TETITIA YUSOFF