fb fb fb fb fb

Malaysia teguh sokong perjuangan rakyat Palestin - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 November - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia berpendirian teguh menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Malah mengutuk sekeras-kerasnya penganiayaan, penindasan serta pembunuhan terhadap orang awam yang berleluasa.

"Kerajaan tidak pernah mengiktiraf mana-mana keputusan mana-mana negara termasuk Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan sekatan secara unilateral, kita hanya mengiktiraf Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tentunya, pertamanya tidak bersetuju dengan cara yang dibuat AS.

"Keduanya ia tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita, sebab itu soal hubungan dengan Hamas kita teruskan dari dulu dan sekarang," kata Anwar menjawab pertanyaan yang dikemukan wakil Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, di Dewan Rakyat.

Tambahnya negara akan terus memberikan sokongan berterusan kepada Palestin termasuk meneruskan perjuangan dalam mendapatkan hak, perlindungan serta bantuan kemanusiaan menerusi beberapa perbincangan bersama-sama negara-negara yang sependapat.

Selain tidak pernah bersetuju dengan tindakan Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas bagi mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.

Dalam pada itu Perdana Menteri turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang sengaja mempolitikkan isu konflik Israel dan Palestin.

Beliau menegur pihak-pihak yang memandang remah usahanya membantu memperjuangkan nasib rakyat palestin

"Bawah saya sebagai Perdana Menteri bulan Julai 2023, isu rakyat isu rakyat isu hak Palestin dibawa dan kita Malaysia membuat kenyataan memberi bukti menyokong tindakan Palestin, Bila?..pada Julai 2023, jangan permainkan sebagai bahan politik bahkan hal ini semua, tidak kira parti bersama-sama membina sokongan supaya rakyat Malaysia dan dunia tahu Malaysia satu suara menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada negara sahabat yang terus memberi ruang mendengar pandangan Malaysia; menyokong pendirian memperjuangkan hak Palestin. Antaranya Singapura, Netherlands dan Jepun.

"Malah saya telah beritahu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar supaya mengutus surat atas nama saya dan rakyat Malaysia mengucap tahniah kapada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres kerana ketegasan beliau untuk mengetegahkan isu yang benar yang menimpa rakyat Palestin," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF