KUALA LUMPUR, 15 April- Seramai 384 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah digerakkan bagi memastikan keselamatan serta kelancaran aliran trafik sepanjang Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.
Sebanyak 17 laluan utama di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur terlibat dalam penutupan sementara bermula hari ini hingga Khamis, selama 30 hingga 45 minit bagi memberi laluan kepada pergerakan delegasi. Laluan-laluan tersebut akan dibuka semula selepas konvoi selesai melalui kawasan terbabit.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kerjasama semua pihak amat penting untuk memastikan kelancaran lawatan berprofil tinggi ini.
“Saya mengharapkan kerjasama daripada pengguna jalan raya, orang ramai dan sektor swasta agar kita sama-sama bertanggungjawab sebagai warganegara dalam memastikan lawatan Presiden China berjalan lancar tanpa sebarang gangguan keselamatan atau kesesakan lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan petugas JSPT sempena ketibaan Presiden China di ibu negara.
JSPT turut menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan laluan yang terlibat sepanjang tempoh penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan, serta mematuhi segala arahan petugas di lokasi.