BATU KAWAN, 14 Julai- Sebanyak 38 lagi Pusat Ekonomi Digital atau (PEDi) akan diwujudkan di Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM49.4 juta, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.
Ini bagi melahirkan dan memperkasakan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang inovatif dan berdaya saing.
Menurut beliau peruntukan berkenaan meliputi kos pengoperasian PEDi sepanjang tempoh lima tahun.
"Di Pulau Pinang, kita hanya ada tiga PEDi dan Pulau Pinang akan menerima PEDi tambahan sebanyak 38 buah PEDi baharu. Salah satunya di Pulau Aman. Ia bertujuan membantu seramai hampir 200 penduduk yang dahulunya amat terkesan akibat COVID-19 kerana kemudahan liputan mudah alih yang terhad," kata Teo kepada pemberita selepas merasmikan Program Semarak Gemilang @ Pulau Aman di sini.
Katanya kesemua 38 PEDi diharap dapat beroperasi sepenuhnya pada akhir Januari atau awal Februari tahun depan.
“Selain itu, kita turut bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada untuk melatih penduduk yang berminat menjadi vendor.
Penduduk akan diajar pelbagai kemahiran termasuk mereka poster dan pembungkusan,” katanya.
Melalui pelaksanaan PEDi, usahawan kecil diharap dapat memperluas pasaran ke negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Dalam pada itu, usahawan di Pulau Pinang melahirkan rasa bersyukur atas inisiatif kerajaan golongan yang memerlukan .
"Apabila tadi Timbalan Menteri KKD dah umum. Saya berasa sangat teruja jika PEDi ini dapat dijalankan di Pulau Aman, sebab banyak manfaatnya untuk komuniti kampung. Usahawan yang baru meniaga di kampung dapat menjual di alam maya," kata penduduk Pulau Aman, Siti Zawani Jumari.
"Ekonomi digital ini memberi manfaat kepada penduduk kampung, terutamanya peniaga kecil dan inap desa," kata Ketua KRT Pulau Pinang, Mohd Syukri Yusoff.
(Teo semasa merasmikan Program Semarak Gemilang @ Pulau Aman)