KUALA LUMPUR, 15 Mac- Sebanyak 37 unit pengurusan hutan dengan sejumlah 5.81 juta hektar hutan dan 360 syarikat rantaian jagaan telah dipersijilkan di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) sehingga 31 Disember 2022.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, sehingga kini prestasi eskport produk kayu yang diperakui MTCS menunjukkan pertumbuhan yang progresif.
(Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof)
Jelasnya jumlah eksport awal adalah sebanyak 732 meter padu pada tahun 2002 dan secara kumulatif telah meningkat kepada 2.97 juta meter padu setakat Disember tahun lalu dan telah dieksport ke 72 buah negara.
"Perluasan skop bagi kategori produk yang diperakui amat menggalakkan apabila ia berkembang daripada kayu gergaji dan venir yang diproses utama kepada rangkaian produk yang lebih luas seperti papan lapis, acuan, parket, serpihan kayu, pelet kayu, pintu, perabot kayu serta bukan-hasil hutan tradisional seperti ubat nyamuk, lampin bayi dan dulang telur.
"Prestasi eksport produk kayu yang diperakui MTCS menunjukkan pertumbuhan yang progresif," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pensijilan Kayu: Meneroka sempadan masa depan di Ibu Negara.
Persidangan itu turut diadakan secara hibrid dengan membentangkan hasil projek penyelidikan, Keberkesanan Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) terhadap Pengurusan Hutan, Perindustrian dan Perdagangan, yang telah dilaksanakan Majlis Pensijilan Kayu malaysia ( MTCC) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) selama tiga tahun sejak 2019.
Jelasnya lagi beliau turut mengiktiraf usaha dan inisiatif kerajaan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang menunjukkan komitmen cemerlang bagi memastikan pelaksanaan Pengurusan Hutan Lestari (SFM) melalui pensijilan kayu.