fb fb fb fb fb

34 Pemandu lori didakwa melakukan kesalahan gagal hadir timbang

KANGAR, 14 Oktober- Bahagian Pendakwaan JPJ Negeri Perlis mendakwa 34 orang pemandu lori di Mahkamah Majistret Kangar.

Dakwaan dibuat bagi kesalahan Gagal Hadir Timbang atau Engkar Notis Arahan Menimbang Kenderaan bawah seksyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


(Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah)

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah, Operasi Khas Kesalahan Membawa Muatan Secara Berlebihan atau OPS Tutup yang dilaksanakan pasukan operasi JPJ Perlis berjaya memeriksa dan mengeluarkan Notis Arah Timbang bawah seksyen 63(1) APJ dan 82 APAD sebanyak 137 notis sepanjang Januari hingga September 2022.

"Sebanyak 21 pemandu lori yang melakukan kesalahan gagal hadir timbang telah disabitkan dengan kesalahan tersebut dan telah dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000 mengikut Seksyen 63(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Jumlah keseluruhan denda bagi 21 kes pemandu lori yang melakukan kesalahan gagal hadir timbang tersebut berjumlah RM44,900,"katanya di sini.

Manakala baki 13 orang pemandu lori lagi dikenakan tindakan waran tangkap kerana tidak hadir mahkamah semasa hari perbicaraan kes tersebut.

Selain itu, bagi kesalahan membawa muatan secara berlebihan pihaknya telah mengambil tindakan saman kepada pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan khususnya lori-lori, di bawah seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Kaedah 89 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu