fb fb fb fb fb

DUN Pahang dibubarkan hari ini

KUANTAN, 14 Oktober- Pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang bakal diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tidak lama lagi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pagi ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 berkuat kuasa hari ini.


(Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail)

Jelas Wan Rosdy, beliau telah menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mendapatkan perkenan pembubaran DUN itu.

"Selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal telah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan berkuat kuasa pada hari ini.

"Tambahnya, tarikh hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan," katanya dalam sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Wan Rosdy keputusan Pahang untuk bersama dalam PRU-15 adalah dibuat atas beberapa keperluan, terutamanya bagi mengelak proses dan musim pilihan raya yang berulang dalam tempoh yang singkat kerana pilihan raya negeri perlu diadakan kurang setahun dari sekarang. 

"Pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek, seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya. Selain itu, permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran.

"Ini sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan. Oleh demikian, kerajaan negeri berpandangan wujud keperluan untuk turut menyertai PRU-15," katanya.

Media Baharu