fb fb fb fb fb

DUN Perlis bubar hari ini, setelah diperkenan Raja Perlis

KANGAR, 14 Oktober- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 dibubarkan berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengumumkannya setelah mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.


(Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man)

"Pembubaran DUN itu bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Katanya, beliau dan Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari telah menghadap Raja Perlis di Galeri Diraja Arau pada pukul 3.00 petang semalam dan menyembah maklum memohon pembubaran DUN Perlis.

Azlan Man berkata Raja Perlis juga telah menandatangi pengisytiharan pembubaran DUN Perlis berkuat kuasa hari ini.

"Jadi PRU Negeri akan diadakan serentak dengan PRU15 dan kita akan serahkan segala urusan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) untuk membuat tindakan sewajarnya," katanya.

Perlis mempunyai 15 kerusi DUN. Sebelum pembubaran DUN penggal ke-14, sepuluh kerusi diwakili Barisan Nasional (BN), tiga PKR dan dua PAS.

Manakala parlimen tiga kerusi. Penyandang kerusi Arau dan Padang Besar adalah Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin masing-masing dari BN, manakala kerusi Parlimen Kangar disandang Noor Amin Ahmad (PKR).

Media Baharu