fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan harga telur ayam di Kedah – KPDN

Tiada kenaikan harga mahupun aduan berkaitan telur ayam dilaporkan di seluruh Kedah setakat ini, susulan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi yang bermula 1 Ogos lalu / Foto Hiasan / Bernama

ALOR SETAR, 5 Ogos – Tiada kenaikan harga mahupun aduan berkaitan telur ayam dilaporkan di seluruh Kedah setakat ini, susulan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi yang bermula 1 Ogos lalu.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, pemeriksaan dan pemantauan telah dijalankan oleh pegawai penguat kuasa dan pemantau harga KPDN di premis perniagaan di semua daerah negeri itu sejak 1 Ogos hingga semalam.

“Pemantauan dan pemeriksaan ini akan terus dipertingkatkan bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat peniaga yang didapati menaikkan harga telur ayam secara drastik.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan langkah penstrukturan semula subsidi telur ayam yang berkuat kuasa 1 Ogos lalu, sebagai sebahagian daripada pendekatan penyasaran subsidi secara berfasa yang lebih lestari dan berimpak tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN