fb fb fb fb fb

“34 Je-Kita Suka”: Strategi baharu kukuhkan radio RTM

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

ANGKASAPURI, 5 Januari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) komited mengukuhkan jenama stesen radio melalui program baharu “34 Je-Kita Suka” yang dilancarkan buat julung kalinya, hari ini.

Diterbitkan secara berasingan oleh setiap stesen radio negeri dan kawasan, 34 stesen radio akan bersiaran serentak pada hari dan waktu yang sama. Program tersebut ke udara selama 34 minit bermula Jumaat hingga Ahad pada pukul 3.40 petang hingga 4.14 petang.

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, pelbagai topik santai dan kandungan kreatif bakal dikongsi oleh setiap stesen dengan kepelbagaian bahasa, dialek atau loghat mengikut negeri masing-masing. 

"Kita sudah rancang program ini sejak tahun lepas. Selepas melihat kejayaan beberapa program besar yang dilaksana tahun lepas. Jadi ini merupakan penambahbaikan yang kita usahakan supaya program yang dilaksana terus berkualiti dan mendapat kejayaan lebih besar.

"Selain  meneruskan apa yang sudah dilaksanakan, kita juga sedang meneliti idea-idea baharu untuk meningkatkan jumlah pendengar radio RTM.

"Saya juga diberitahu bahawa rakyat Malaysia yang berada di luar negara juga gemar mendengar radio RTM menerusi aplikasi RTM Klik. Perkara itu menggembirakan kerana kita boleh mengetengahkan kandungan kita ke luar negara termasuk kepada pendengar yang berkongsi bahasa seperti Singapura dan Indonesia. Kita sudah keluar dari cara mendengar radio tradisional kerana radio RTM boleh didengari di pelbagai platform", katanya dalam sidang media di Angkasapuri.

"Meskipun persaingan dengan stesen radio swasta masih ada, namun RTM merupakan stesen radio yang bertujuan menyampaikan mesej pembangunan dengan disulam hiburan. Justeru kandungan radio tidak boleh membosankan. Kita harus lebih kehadapan dengan lebih menghiburkan untuk menjadi stesen radio yang digemari ramai. Tidak salah untuk memilih penyampaian lebih santai kerana apabila kita digemari, setiap mesej yang ingin disampaikan akan lebih efektif.

Tambahnya, "34 Je-Kita Suka" juga idea baharu untuk meningkatkan jumlah pendengar radio sepanjang tahun ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Program Radio, Saifuzzaman Yusop berkata, radio RTM perlu meletakkan sasaran lebih tinggi tahun ini selaras transformasi digital RTM.

Beliau berkata sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 14.6 juta pengikut, penonton dan jumlah suka (likes) diterima di media sosial milik stesen radio RTM.

ROSLINA BINTI DIN