fb fb fb fb fb

330 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam operasi pelbagai

Foto Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri

MIRI, 4 Ogos - Sebanyak 330 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Miri, dalam operasi pelbagai bermula 28 Julai hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam kenyataan memaklumkan operasi fokus kepada kesalahan nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut peraturan.

"48 saman membabitkan nombor pendaftaran 'fancy' atau tidak ikut spesifikasi, 47 saman kerana nombor pendaftaran tidak ikut peraturan dan 235 saman atas lain-lain kesalahan," menurut kenyataan itu.

Saman dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (4) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sepanjang operasi, kira-kira 509 kenderaan dan seramai 571 individu telah diperiksa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI