KUALA LUMPUR, 11 Januari - Sebanyak 329 ketua isi rumah (KIR) khususnya di sekitar Gombak dan Sepang yang terkesan akibat banjir baru-baru ini telah menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 setakat 10 Januari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ciapan di Twitter memaklumkan, bantuan itu dikreditkan terus ke akaun penerima melalui pindahan dana elektronik (EFT).
Tambah beliau, proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.
“Selain EFT, kaedah serahan adalah secara tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan agihan dari rumah ke rumah.
Kerajaan Persekutuan mula salurkan Bantuan Pembelian Barangan Keperluan sebanyak RM2,500 kepada KIR yang telah menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000", katanya.
KIR yang telah menerima BWI tidak perlu membuat pendaftaran semula bagi menerima bantuan ini.