fb fb fb fb fb

31 PJH dilantik, tapisan ketat demi kebajikan jemaah - TH

Foto Fail

SEPANG, 30 Oktober- Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan lesen kepada 31 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447 Hijrah, selepas menjalani proses pemilihan yang rapi demi menjamin keselamatan dan kebajikan jemaah haji negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata syarikat yang dilesenkan kali ini telah melepasi semakan menyeluruh termasuk aspek kewangan, pematuhan undang-undang dan rekod pengurusan jemaah.

"Jawatankuasa ini meneliti kekuatan kewangan syarikat, pematuhan kepada undang-undang, dan rekod pengendalian haji pada tahun-tahun lepas. Ini adalah antara syarat utama yang perlu dipatuhi oleh syarikat-syarikat tersebut.

Kita melihat kepada kualiti. Kita tidak mahu meningkatkan jumlah PJH, jika mereka tidak mempunyai kemampuan. Jika itu berlaku, ia akan menjejaskan jemaah haji misalnya, syarikat tersebut mungkin gagal dan menghadapi masalah untuk membayar balik, melunaskan kos hotel atau menyediakan penerbangan balik.

Oleh itu, kita tidak hanya melihat kepada bilangan, sebaliknya kita mengutamakan kualiti PJH yang akan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat," kata Datuk Dr. Mohd Na'im kepada pemberita, hari ini.

Beliau turut menyeru syarikat PJH agar terus menawarkan pakej haji ekonomi bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat menunaikan ibadah dengan kos berpatutan.

Pada musim haji yang lepas, 28 peratus jemaah memilih pakej haji ekonomi di bawah RM55,000 manakala bagi musim ini harga pakej bermula daripada RM40,000 hingga RM329,990.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran pakej haji tidak sah, susulan tindakan tegas pihak berkuasa Arab Saudi terhadap individu yang berada di Makkah tanpa visa haji yang sah.

Satu jawatankuasa khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dianggotai TH serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa memastikan tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang menipu dalam urusan berkaitan haji.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM