fb fb fb fb fb

Kekerapan gangguan Aerotrain KLIA tidak boleh diterima - Menteri Pengangkutan

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 30 Oktober - Kekerapan gangguan perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disifatkan sebagai tidak boleh diterima, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, sambil menegaskan bahawa Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan dipertanggungjawabkan sekiranya gangguan berpunca daripada masalah teknikal.

Menurut beliau, MAHB selaku pemegang konsesi bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pelaksanaan projek yang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik iaitu Alstom dan IJM-PESTEC Joint Venture (IPJM).

“Kita perlu pastikan perkhidmatan ini benar-benar boleh dipercayai. Dalam tempoh empat bulan sahaja sudah terlalu banyak gangguan untuk satu sistem baharu. Kami masih belum berpuas hati.

“Beberapa gangguan dikenal pasti berpunca daripada kesalahan teknikal yang tidak sepatutnya berlaku dan itu yang kita perlu ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa sebarang tindakan punitif terhadap pihak terbabit hanya akan diambil selepas siasatan ke atas setiap insiden gangguan perkhidmatan Aerotrain selesai dijalankan.

Mengulas lanjut, Loke menjelaskan bahawa MOT melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah membuka kertas siasatan terhadap gangguan sistem Aerotrain, bagi meneliti punca sebenar kejadian.

Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan, sekiranya terdapat sebarang laporan atau dakwaan salah laku berkaitan projek berkenaan.

“Jika terbukti berlaku kecuaian atau pelanggaran peraturan, tindakan punitif akan diambil termasuk penalti maksimum RM250,000 bagi setiap kejadian,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pihaknya komited untuk memastikan tahap keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam udara sentiasa berada pada standard tertinggi.

ROSLINA BINTI DIN