ALOR SETAR, 30 Oktober -Jumlah penduduk terjejas banjir di Kedah dilaporkan berkurangan kepada 579 orang berbanding 698 orang yang dicatatkan pada pagi tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, kesemua penduduk terjejas ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).
"Daerah Pendang mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 503 orang daripada 136 keluarga di tiga PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Sekolah Kebangsaan SK Ayer Puteh dan SK Tunku Intan Shafinaz," menurut kenyataan itu.
Sementara itu di Kota Setar, seramai 76 orang daripada 20 keluarga masih berada di satu PPS di Sekolah Kebangsaan Haji Idris Tajar untuk mendapatkan perlindungan.