POKOK SENA, 16 Januari- Sebanyak 300 ketua isi rumah KIR yang terjejas banjir di Derang, Pokok Sena November tahun lalu menerima sumbangan menerusi skuad Ihsan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia SKM hari ini.
Menurut Pengarah SKM Kedah,Norzila Nayan sumbangan pasca banjir berjumlah RM60,000 itu merupakan Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) koperasi tersebut.
Sumbangan berupa kipas angin, tilam, bantal, selimut dan bakul makanan berlangsung di Masjid Raudatus Solihin, Derang, Pokok Sena.
Katanya program turun padang itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penerima bantuan, tetapi juga bertujuan untuk menzahirkan peranan dan sumbangan Gerakan Koperasi terhadap masyarakat.
Sebanyak 14 koperasi yang mewakili Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan bersama-sama turun padang menziarahi penduduk kampung serta menyampaikan sumbangan kepada para penerima.
Sukarelawan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan bersama-sama penduduk kampung turut bergotong royong menyediakan makanan serta mengadakan aktiviti kemasyarakatan.