fb fb fb fb fb

30 pesawah tarik nafas lega, sistem perparitan pulih

Foto hiasan

PENDANG, 19 Jun- Kira-kira 30 pesawah di tiga buah kampung di Tokai, di sini boleh memulakan aktiviti penanaman padi selepas masalah sistem perparitan cetek dan tersumbat telah dibersih dan diperdalam oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh, kerja-kerja pembersihan di kawasan tersebut telah dilakukan oleh pihak kontraktor sejak beberapa hari lalu melibatkan jarak sejauh 1.2 kilometer bermula dari muara Sungai Pendang hingga ke Kampung Alor Tok Pauh.
 
Manakala kerja-kerja baki pembersihan kira-kira 1.5 kilometer lagi sistem perparitan dari Kampung Tok Pauh hingga ke Kampung Alor Ali akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Kita harap dengan pembersihan yang dilakukan ini akan mempercepat aktiviti peladang kita. Keseluruhan kawasan Tajar ini potensi untuk berlaku banjir adalah sekitar 500 hektar.

"Sekarang kawasan ini sahaja, tetapi kalau air banyak,hujan banyak, seluruh 500 hektar tadi di unit-unit yang lain juga akan ada potensi untuk berlakunya banjir," katanya kepada RTM selepas meninjau kerja-kerja membersih dan mendalamkan sistem perparitan terlibat di Kampung Tok Pauh, di sini.
 
Sementara itu, pesawah MADA Wilayah III Mohd Fauzi Bahari meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas tindakan segera pihak MADA menyelesaikan masalah itu.

"...dapat menyelesaikan masalah kami dengan begitu cepat. Kita kata sebab hari ini mungkin dah siap, air pun dah lalu. Lepas itu bendang pun esok atau lusa boleh mula menabur padi," katanya.

4 Jun lalu, RTM menyiarkan keluhan pesawah di Kampung Alor Ali, Kampung Tok Pauh dan Kampung Alor Mengkuang kerana tidak dapat memulakan aktiviti penanaman padi selepas sawah mereka ditenggelami air.
 
Ia berpunca daripada sistem perparitan yang cetek dan tidak diselenggara serta dipenuhi tumbuh-tumbuhan menjalar selain kedudukan sawah padi yang rendah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI