fb fb fb fb fb

LHDN kenal pasti individu, syarikat terlibat dagangan wang kripto

Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin

PUTRAJAYA, 19 Jun- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang menjalankan perdagangan mata wang kripto.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya mendapati kekerapan transaksi dagangan mata wang kripto itu adalah tinggi dan agensi itu dalam proses semakan data untuk menentukan sekiranya berlaku isu percukaian.

"Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan jika jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai.

"Mereka yang menjalankan aktiviti ini dalam volume (merujuk kepada kekerapan transaksi) yang tinggi dan tidak membuat apa-apa pelaporan kepada kita," katanya selepas menyampaikan sijil penyertaan Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) di sini.

Program Tadbir Urus Percukaian Korporat (TCG) dilancarkan pada 1 Mac 2022 sebagai inisiatif memperkasa aktiviti pematuhan secara sukarela menerusi kerjasama utuh antara pihak pembayar cukai dan LHDN, sebagai pentadbir cukai negara.

Pelancaran program itu melibatkan dua fasa utama iaitu projek rintis yang bermula pada 1 Jun 2022 sehingga 30 Jun 2024 dan bakal diikuti dengan pelaksanaan penuh TCG bermula 1 Julai depan.

Maklumat berkaitan Garis Panduan Layanan Cukai Ke Atas Transaksi Mata Wang Digital boleh dimuat turun menerusi https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/GP_LAYANAN_CUKAI_KE_ATAS_TRANSAKSI_MATA_WANG_DIGITAL.pdf.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI