fb fb fb fb fb

30 Pelajar PJJ PACE, UUM terlibat program khidmat masyarakat

BATU CAVES, 14 Januari- Seramai 30 pelajar program jarak jauh (PJJ) dari Pusat Pengajian Profesional dan Lanjutan (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM), Kampus Kuala Lumpur mengadakan program khidmat masyarakat di Sekolah Kebangsaan Kampung Selayang.

Berkonsepkan 'kesukarelaan dan pendidikan', program khidmat masyarakat tersebut turut disertai 80 pelajar SK Kampung Selayang, selain melibatkan guru-guru, ahli jawatankuasa Persatuan Ibu, bapa dan Guru (PIBG) sekolah dan masyarakat setempat.

Timbalan Pengarah program, Mohd Rahmat Mohd Shariff berkata, program khidmat masyarakat yang julung kali diadakan itu memfokuskan kepada dua aktiviti utama iaitu program gotong royong serta taklimat kesihatan dan penjagaan gigi bersama pelajar-pelajar.

Katanya, ia bertujuan membantu pihak sekolah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bersih untuk anak-anak, disamping mendidik para pelajar sekolah tentang kepentingan menjaga kesihatan gigi.

"Program Gotong-Royong yang dijalankan merangkumi aktiviti mencantik dan mengindahkan kawasan sekolah seperti memotong rumput, membersihkan longkang dan mengecat bangunan sekolah.

"Manakala bagi Program Taklimat Penjagaan Gigi pula, ia dikendalikan oleh empat pegawai pergigian dari Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberi penerangan tentang kepentingan menjaga gigi diikuti sesi demonstrasi dan latihan memberus gigi bersama semua pelajar terlibat,” katanya selepas ditemui RTM selepas perasmian program tersebut yang disempurnakan Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.


(Antara pelajar PJJ dari PACE, UUM Kampus Kuala Lumpur yang terlibat
dalam program khidmat masyarakat di Sekolah Kebangsaan Kampung Selayang)

Menurut Rahmat, program itu juga adalah projek tahun kedua mereka bagi memenuhi keperluan kursus kod VKMB 2031 iaitu Pembangunan Masyarakat III.

Turut hadir pada program tersebut ialah Pengarah UUM PACE, Prof. Madya Dr. Awan Ismail, Penasihat Program, En. Ali Hafizar Mohamad Rawi dan Guru Besar SK Kampung Selayang, En. Badrulhisham Bahari.

Sementara itu, Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Awan Ismail berkata penganjuran program tersebut merupakan antara usaha PACE UUM dalam mendekati dan menyumbang kepada komuniti setempat.

Ia selaras dengan hasrat menjadikan universiti untuk masyarakat yang bukan sahaja memberi tumpuan dalam aspek akademik semata-mata, malah memberikan sumbangan kepada komuniti melalui program khidmat masyarakat.

Pada program tersebut, para pelajar PJJ UUM yang terlibat turut memberi sumbangan wang tunai berjumlah RM 4,000.00 kepada pihak sekolah yang berjaya dikumpul menerusi hasil tajaan beberapa pihak swasta dan orang persendirian.

Media Baharu