KOTA TINGGI, 21 Mei- Seramai 30 warga Indonesia terselamat, selepas bot dinaiki terbalik di kedudukan 19.3 Batu Nautika Timur Laut, Tanjung Penawar, dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, semua mangsa diselamatkan Kapal Andros Spirit, yang berada berdekatan.
"Operasi Carilamat digerakkan selepas menerima maklumat awal, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Tanjung Pinang.
"Dalam operasi ini, KM Sibuan, bot Petir 11 dan Penggalang 15 ditugaskan membantu operasi menyelamat," katanya.
Menurut beliau, mangsa yang berada di kapal Andros Spirit kemudian diiring ke sempadan perairan Indonesia untuk diserahkan kepada kapal KN Rantos, KN Kalimasadha dan KN Tanjung Datu.