KUALA LUMPUR, 21 Mei - Malaysia dan Thailand bakal mengukuhkan kerjasama strategik dalam bidang tenaga boleh baharu, keselamatan tenaga dan pengurusan sumber air secara mampan.
Perkara berkenaan akan direalisasikan menerusi lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ke Bangkok selama empat hari bermula hari ini.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi satu kenyataan memaklumkan, lawatan kerja tersebut juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendukung agenda peralihan tenaga negara.
Sekali gus menjayakan aspirasi Malaysia MADANI melalui komitmen memastikan rakyat mendapat manfaat daripada sistem tenaga dan air yang bersih, lestari dan berpatutan.
Antara pengisian lain termasuklah kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Thailand Pirapan Salirathavibhaga yang juga Menteri Tenaga.
Bertujuan untuk membincangkan kerjasama rentas sempadan dalam pembangunan tenaga bersih dan pengurusan air industri sekali gus memperkukuh diplomasi serantau.
Turut dijalankan perkongsian strategik bersama industri menerusi taklimat dan jaringan bersama syarikat TTM (Thailand) yang dihoskan PETRONAS.
Ia dijangka dapat menjana peluang pelaburan dua hala serta projek tenaga serantau yang memberi impak langsung kepada kestabilan bekalan dan kemampanan alam sekitar.
Datuk Seri Fadillah juga akan mengadakan lawatan ke sebuah loji Rawatan Air dan Kitar Semula bagi menimba pengalaman terbaik dalam inovasi hijau dan pengurusan sumber industri yang cekap.
Selain itu, beliau juga dijadual menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti diaspora Malaysia di Bangkok.
Serta akan menghadiri sesi makan malam bersama pihak industri sektor tenaga di Thailand yang dijangka dapat mempertingkatkan peluang kolaborasi sektor swasta dalam teknologi hijau dan pelaburan tenaga boleh baharu.
Lawatan kerja ini akan meletakkan Malaysia pada kedudukan yang lebih strategik dalam lanskap tenaga ASEAN.
Sekali gus memacu pembangunan sektor tenaga dan air negara yang lebih mampan, inovatif dan berteraskan kepentingan rakyat, selaras dengan penerapan konsep Malaysia MADANI yang menekankan kepada kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat.