fb fb fb fb fb

Ahli PPPM perlu kuasai kemahiran digital, teknologi - Raja Permaisuri Agong

Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 21 Mei- Ahli Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) diharap dapat menguasai kemahiran digital, serta bersikap bijaksana dalam menggunakan teknologi demi manfaat diri, komuniti dan negara.

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang juga Penaung Diraja Persatuan Pandu Puteri berkata persatuan itu mempunyai peranan yang amat penting dalam menyediakan ruang dan peluang untuk ahli memahami serta menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini.
  
Baginda bertitah, dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas, di mana kemajuan teknologi berkembang dengan begitu pesat.
 
Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
 
Justeru baginda berharap, ahli persatuan khususnya golongan remaja dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa yang sama kekal beretika serta berjiwa insan.

"Dunia kini berada dalam peredaran masa yang amat pantas, di mana kemajuan teknologi berkembang dengan begitu pesat. Kecerdasan Buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing, bahkan ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita.

Saya percaya bahawa anak-anak gadis yang berada dalam persatuan ini akan dibimbing menjadi celik digital, bijak memanfaatkan teknologi dan pada masa yang sama kekal beretika serta berjiwa insan. Pandu Puteri Malaysia mempunyai peranan yang amat penting dalam menyediakan ruang dan peluang untuk ahli memahami serta menyesuaikan diri dengan teknologi masa kini," titah baginda, hari ini.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Persidangan Persatuan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-60 Persatuan Pandu Puteri di Kota Darulnaim, di sini.
 
Turut berangkat, Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah merangkap Penaung Persatuan Pandu Puteri Cawangan Kelantan dan Yang Dipertua persatuan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr. Wan Ismail.
 
Titah baginda lagi, usia 109 tahun persatuan itu menunjukkan kesinambungan perjalanan panjang dan bermakna yang penuh dedikasi dalam memperkasa anak-anak gadis di negara ini menjadi warga yang berilmu, berwibawa dan berakhlak mulia.
 
Usaha murni dan iltizam Datuk Seri Dr. Wan Azizah di atas kepemimpinan beliau yang dinamik dan sentiasa menekan nilai inklusif serta perpaduan dalam kalangan ahli amat dihargai.

"Kepada para perwakilan, baginda menyeru agar segala perbincangan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat  dapat membawa manfaat dan memperkukuhkan lagi kedudukan Persatuan Pandu Puteri Malaysia di peringkat negara dan antarabangsa," titah baginda lagi.
  
Pada majlis ini juga, Raja Zarith Sofiah turut berkenan mengurniakan Anugerah Pandu Puteri Raja kepada ahli yang cemerlang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM