fb fb fb fb fb

3 maut termasuk kanak-kanak, 4 cedera dalam kemalangan dua kenderaan

Keadaan dua buah kenderaan akibat kemalangan di kilometer 142 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Asli Bukit Serok, Rompin

ROMPIN, 25 Ogos - Tiga termasuk kanak-kanak maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di kilometer 142 Jalan Kuantan-Seremban berhampiran Kampung Asli Bukit Serok, Rompin, semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 5.55 petang.

"Kesemua mangsa maut merupakan pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Aida Asmalia Abu Samah, 46 tahun manakala Siti Auni Syafiqa Sheikh Ali, 18 tahun serta Chempaka Alara Azizi, 3 tahun masing-masing merupakan penumpang kenderaan terbabit.

"Pemandu kereta terbabit disahkan maut di tempat kejadian manakala kedua-dua penumpang meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Muadzam Shah, Rompin," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, tiga lagi penumpang kereta serta pemandu kenderaan pacuan empat roda masing-masing cedera parah dan dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan.

Hasil siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda dari arah Bandar Tun Razak menghala ke Felda Palong manakala sebuah kereta lagi dari arah Seremban menghala ke Kuantan.

Ketika di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI