ALOR SETAR, 25 Ogos – Empat lelaki berusia antara 24 hingga 34 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota polis, awal bulan ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail.
Tertuduh ialah Muhamad Badry Muhamad Azami, 24; Mohamad Hafiz Khazli, 26; Badri Iman Abdul Nasir, 25; dan Mohd Saifuan Mohd Noor, 34, yang dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat polis.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama membunuh Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, di hadapan rumah nombor 2809 L, Taman Golf, pada pukul 3.43 petang, 7 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati, atau pemenjaraan tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan mengarahkan semua tertuduh ditahan di Penjara Alor Setar, sementara kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 November ini.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian pada 7 Ogos lalu, mangsa yang juga anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah maut dirempuh penjenayah ketika cuba menghalang suspek kes pecah rumah melarikan diri berhampiran Taman Golf.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala kesemua suspek berjaya ditahan pada hari sama.