KUALA PILAH, 25 Ogos – Program Budaya @ Komuniti, yang mengetengahkan Adat Luak di Negeri Sembilan, menjadi landasan penting dalam mempamerkan warisan adat dan budaya kepada generasi muda serta masyarakat umum.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon, berkata setiap luak perlu mempunyai naratif tersendiri yang dapat disampaikan secara seragam.
Pendekatan itu, jelasnya, akan memudahkan komuniti tempatan tampil sebagai pencerita budaya sekali gus berperanan dalam memperkasa industri pelancongan negeri.
“Mungkin ada sesuatu yang unik tentang luak tersebut. Kita perlu adakan bengkel, kemudian latihan. Komuniti tempatan mesti diperkasakan. Jika tidak, pelancong akan keliru kerana mendapat versi berbeza-beza.
“Contohnya, kalau pelancong datang, seorang bercerita tentang makanan, seorang lagi tentang perkara lain. Jadi mereka akan rasa keliru. Dengan naratif yang seragam, identiti setiap luak dapat dipelihara, dan komuniti tempatan lebih berdaya untuk memperkasa warisan mereka,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Perasmian Program Budaya @ Komuniti Adat Waghih Luak Terachi di Nadi Seri Menanti, Terachi, di sini.
Tambahnya, usaha membangunkan naratif unik setiap luak termasuk dari aspek makanan tradisional, busana, adat, dan simbol seperti bendera, akan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan negeri.
Menurut Nicole, usaha membangunkan naratif unik setiap luak, termasuk daripada aspek makanan tradisional, busana, adat serta simbol seperti bendera, akan memberi nilai tambah kepada produk pelancongan Negeri Sembilan.