KANGAR, 30 Januari - Seramai 3,455 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menduduki ujian bertulis di 34 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini bermula hari ini.
Pemangku Pengarah Pendidikan Negeri, Hamidi Md Saad memaklumkan, daripada jumlah itu, seramai 2,988 merupakan calon sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
"Selain itu, seramai 287 calon adalah dari MRSM; 73 calon dari sekolah menengah swasta berdaftar KPM; 87 calon adalah calon persendirian dan 20 lagi calon sekolah agama rakyat.
"Terdapat juga 8 calon berkeperluan khas dan 2 calon hospital serta 3 calon pindah tulis," katanya ketika ditemui media selepas meninjau peperiksaan SPM di SMK Dato Ali Ahmad di sini hari ini..
Bagi memastikan peperiksaan SPM di seluruh Perlis berjalan lancar, seramai 286 petugas peperiksaan serta 39 petugas sukarelawan akan bertugas di 34 pusat peperiksaan.