fb fb fb fb fb

3.1 tan ketum gagal diseludup ke negara jiran

KUALA KEDAH, 8 April - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah sekali lagi menggagalkan cubaan menyeludup keluar daun ketum seberat 3.1 tan ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata modus operandi aktiviti penyeludupan kali ini berbeza iaitu dengan menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar, berbanding sebelum ini menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bot nelayan tempatan kelas A dikesan di kedudukan 0.2 batu nautika muara Kuala Sala, Kedah pada jam lebih kurang 6.45 pagi, semalam." katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Hasil risikan, APMM kemudiannya mengerakkan bot PERKASA 1226 yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman.

Setibanya di lokasi, empat suspek sedang memunggah bungkusan hitam terbabit di atas bot berkenaan namun suspek berjaya melarikan diri ke kawasan paya bakau.


(310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum di dalam bot nelayan) 

Hasil pemeriksaan bot yang ditinggalkan didapati 310 bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum cuba disorokkan di bahagian tempat simpanan ikan.

Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum dianggarkan bernilai RM558,000 manakala bot nelayan terbabit RM60,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.


(3.1 tan ketum berjaya dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia)

Media Baharu