
MANJUNG, 3 Ogos – Sebanyak 29 projek kelas kabin dan dewan serbaguna terbuka di Perak bernilai RM34.2 juta dijangka siap secara berperingkat menjelang Disember ini.
- Penggunaan Modular Precast System mempercepat pembinaan kelas kabin dan dewan tanpa menjejaskan kualiti serta keselamatan bangunan.
- Projek disasarkan menyediakan bilik darjah tambahan susulan polisi enam tahun bagi murid Tahun 1.
- Projek prasekolah SK Seri Samudera siap lebih awal, manfaatkan kontraktor, kerajaan dan pelajar dengan fasiliti tersedia lebih cepat.
Projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) itu menggunakan kaedah ‘Modular Precast System (MPS)’ bagi mempercepat penyediaan kemudahan sekolah.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kaedah berkenaan digunakan bagi menyediakan bilik darjah tambahan terutama di sekolah yang berdepan kepadatan murid.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 25 projek sedang dalam pembinaan, manakala empat lagi di peringkat perancangan melibatkan beberapa daerah di Perak.
“Sekolah dalam bentuk kabin dan dewan serbaguna terbuka. Ini adalah untuk kita membantu sekolah-sekolah yang belajar tahun 1 apabila kita bertukar polisi kepada 6 tahun, maka kita perlukan kelas-kelas tambahan.
“Jadi kita perlu menyediakan dengan pantas. Siap bulan 12 ini, kaedah kebanyakannya mengguna Modular Precast Sstem (MPS) sekolah modular berbentuk kabin, tetapi lengkap dan kukuh dan berkualiti”, katanya.
Jelasnya penggunaan sistem modular membolehkan tempoh pembinaan dipendekkan tanpa menjejaskan kualiti serta keselamatan bangunan.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Manjung.
Projek bernilai RM2.29 juta itu siap 53 hari lebih awal daripada jadual asal.
Ia merangkumi pembinaan dua bilik darjah, ruang makan, bilik penyediaan makanan, bilik suis, bilik utiliti, tandas guru dan murid, ruang wuduk, laluan berbumbung serta taman permainan.
“Saya nyatakan tadi bahawa projek ahead of time menguntungkan tiga pihak. Pihak kontraktor yang dapat mengurangkan kos, pihak kerajaan yang tidak akan terkena bayaran-bayaran tambahan tuntutan akibat daripada lanjutan masa dan ia menguntungkan rakyat yang mendapat fasiliti lebih awal daripada jangkaan”, katanya.