fb fb fb fb fb

27,830 direkodkan permohonan daftar kelahiran lewat

Siti Zulaiha Ashikin gembiran dan bersyukur, dua anaknya Anis Suhada tujuh tahun dan Rais Rayyan satu tahun mendapat sijil kelahiran

BESUT, 29 Mei - Sebanyak 27,830 permohonan daftar kelahiran lewat direkodkan di seluruh negara bermula Januari 2022 hingga Mei tahun ini.

Permohonan yang diterima hasil daripada lebih 900 Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dilaksanakan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Badrul Hisham Alias berkata, melaui 212 cawangan JPN seluruh negara dengan kekuatan 4,000 kakitangan seluruh negara beliau yakin lebih banyak kes dapat diselesaikan.

Menurut beliau kes daftar lewat kelahiran di negara ini masih terkawal dan tidak membimbangkan.

Namun beliau mahu ibu bapa bertanggungjawab dan tidak mengambil mudah berkaitan pendaftaran kelahiran anak serta ambil cakna peraturan-peraturan yang telah ditetapkan agar tidak mendatangkan masalah di kemudian hari, termasuk urusan kesihatan dan pendidikan. 

JPN juga berharap lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan individu tampil membantu mana-mana yang mempunyai masalah berkaitan.

"Daftar lewat ini kebanyakannya yang pertamanya adalah disebabkan kemiskinanlah, yang menyebabkan pemohon gagal kerana tidak dapat hadir ke JPN. Yang kedua kerana pemahaman atau kurang kesederan. Disamping itu juga disebabkan perkahwinan di negara jiran, menjadi penyumbang kepada isu itu," kata Badrul.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada anak pasangan suami isteri Suheri Mat Noor 41 tahun dan Siti Zulaiha Ashikin Adam 33 tahun dari Kampung Pengkalan Ubi Keling, Kuala Besut.

Turut hadir Pengarah JPN Terengganu Mohamad Nasir Kareem dan Pengarah JPN Kelantan Asrihan Ab Razak.

Siti Zulaiha Ashikin melahirkan rasa syukur kerana dua anaknya Anis Suhada tujuh tahun dan Rais Rayyan satu tahun mendapat sijil kelahiran serta membolehkan anak ketiganya Anis bersekolah di Sk Nail Kuala Besut bermula selasa ini.

"Alhamdulillah perkara ini sudah diselesaikan. Anak-anak pun gembira, dan sudah boleh ke sekolah," katanya.

TETITIA YUSOFF