fb fb fb fb fb

Laporan lengkap nahas dua helikopter TLDM diterbitkan esok

PUTRAJAYA, 29 Mei - Laporan lengkap mengenai nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak telah siap dan akan diterbitkan esok (30 Mei), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Hasil Siasatan itu akan diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Menteri Pertahanan telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim status terkini laporan penuh nahas helikopter di Lumut , memaklumkan bahawa laporan tersebut telah siap dan akan diterbitkan esok jadi kepada rakan-rakan media boleh nantikan pengumuman penuh hasil siasatan terhadap nahas helikopter yang telah berlaku di Lumut," kata Fahmi.

Beliau yang juga jurucakap kerajaan bercakap dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini.

Dalam kejadian sekitar pukul 9.32 pagi pada 23 April lalu, 10 pegawai serta anggota TLDM terkorban apabila dua helikopter dinaiki mereka terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan nahas helikopter di negara ini sejak sembilan tahun lalu dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.

Dalam pada itu, Fahmi memberitahu LSH Best Builders Sdn Bhd dan Service Master Malaysia Sdn Bhd dipilih meneruskan operasi Menara Kuala Lumpur.

Syarikat tempatan itu akan meneruskan konsesi selama 20 tahun.

LSH Best Builder sdn Bhd dan Service Master Malaysia Sdn Bhd antara LIMA syarikat yang telah membida untuk mendapatkan tender pengurusan operasi bangunan ikonik itu. 

"Cadangan mereka untuk menguruskan operasi bagi Menara Kuala Lumpur dan daripada lima ini, ada satu syarikat yang telah dipilih Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) iaitu LSH Best Builders Sedia Merahat dan Service Master Malaysia Sedia Merahat.

"Mereka melakukan usaha itu dan syarikat LSH Best Builders ini telah didapati memenuhi syarat-syarat dan tidak ada apa-apa isu telah dilakukan semuanya daripada segi integriti dan tidak timbul isu dan sekarang proses tersebut adalah pengeluaran surat kepada syarikat tersebut," kata Fahmi lagi.

TETITIA YUSOFF