IPOH, 29 Mei- Kerajaan Perak mengagihkan 396 ekor lembu korban bernilai hampir RM3 juta bagi meneruskan tradisi menyalurkan sumbangan sempena dengan ketibaan Aidiladha pada tahun ini.
Agihan itu merupakan hasil sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Perak kepada setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 295 ekor lembu.
Pejabat Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 101 ekor lembu lagi akan diagihkan kepada masjid, agensi Kerajaan dan badan bukan Kerajaan (NGO).
"GLC yang terlibat menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebanyak 231 ekor, Lembaga Air Perak (50 ekor), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (50 ekor), Perbadanan Menteri Besar (40 ekor) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak 25 ekor.
"Jabatan Mufti Negeri Perak juga akan mengeluarkan satu garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan program ini berlandaskan tuntutan syarak," katanya.
Pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar demi memastikan kelancaran dan ketertiban program yang dijalankan.