fb fb fb fb fb

256 kes buang bayi direkodkan dalam tempoh dua tahun

(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri)

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan sebanyak 256 kes pembuangan bayi direkodkan berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, jumlah itu direkodkan bagi tempoh dua tahun sepanjang 2020 hingga 2022

Katanya, kementerian komited menangani isu tersebut dengan melaksanakan pelbagai advokasi dan kesedaran bagi memupuk keprihatinan dalam kalangan masyarakat menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Usaha ini adalah untuk membantu orang awam khususnya remaja untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah masalah sosial seperti mengandung luar nikah dan sebagainya," katanya menjawab soalan Senator Amir Md Ghazali di Dewan Negara hari ini.

Senator Amir bertanya berapakah bilangan kes buang bayi yang direkodkan sepanjang 2020 hingga 2022 mengikut pecahan negeri dan rancangan pihak kementerian untuk mengatasi isu pergaulan bebas sehingga melahirkan anak tidak sah taraf.

Oleh itu, katanya LPPKN telah melancarkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI) yang telah dibangunkan sejak tahun 2009 dan dikemas kini pada 2022.

Tambah beliau, di bawah pelan tindakan itu, sebanyak 18 Pusat Remaja KafeTEEN telah diwujudkan bagi meningkatkan akses maklumat, perkhidmatan kesihatan reproduktif serta khidmat kaunseling psikososial dan program pendidikan dan pembangunan kemahiran untuk remaja.

Pelaksanaan itu akan yang ditekankan menerusi pendidikan formal di sekolah atau tidak formal di luar sekolah.

Katanya sehingga kini lebih 840,00 remaja telah menerima manfaat daripada program di pusat tersebut.

 

Media Baharu