fb fb fb fb fb

250 keluarga terima sumbangan daripada Etiqa Takaful dan IAM

Foto RTM

BALING,4 Ogos-250 keluarga kurang berkemampuan termasuk golongan petani dan penoreh getah di sekitar Daerah Baling, Kedah menerima sumbangan daripada Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM).
 
Ia bersempena Program Jejak Prihatin peringkat Negeri Kedah di Dewan Terbuka Bonggor Baru, Kampung Dusun Raja, Baling.
 
Sumbangan disampaikan oleh Pengurus Cawangan Etiqa Sungai Petani, Zurina Da’ail dan Presiden IAM, Zawahir Abdullah.
 
Sumbangan berbentuk pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain serta sejumlah wang tunai.
 
Kebanyakan penerima dari Kampung Bendang Darat, Kampung Bangor Gelugur, Kampung Tandop, Kampung Dusun Raja dan Kampung Tok Golok.
 
Menurut Zawahir, program tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa bersama komuniti anjuran IAM ini turut disertai oleh sukarelawan IAM dan juga kakitangan Etiqa dari wilayah utara.
 
Ia bertujuan untuk membantu meringankan beban kesusahan yang dihadapi oleh masyarakat kampung khususnya komuniti petani dan golongan yang kurang berkemampuan serta asnaf.
 
Katanya, selain Kedah, program sama akan diadakan di Perak, Selangor, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Terengganu serta Kelantan bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD