fb fb fb fb fb

Sultan Pahang, Tengku Ampuan cemar duli ke pameran kereta antik

Sultan Pahang, Tengku Ampuan bersama keluarga diraja mencemar duli ke pameran K188 Cars and Coffee, di perkarangan menara Kuantan 188

KUANTAN, 4 Ogos - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat bagi menyaksikan pameran K188 Cars and Coffee, di perkarangan menara Kuantan 188.

Turut mengiringi baginda, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja, Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Pada pameran Pesta Kuantan 188 itu, Baginda berdua dan keluarga diraja juga mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan rakyat yang turut hadir menyaksikan keunikan kenderaan ‘bernilai tinggi’ yang diperagakan.

Pesta itu juga sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65, Al-Sultan Abdullah yang jatuh pada 30 Julai dan Tunku Azizah pada esok.

Pesta Kuantan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat turut menganjurkan Kejohanan Powerboat Royal Pahang F3000 selain perlumbaan K188 Fun Race dan pameran K188 Cars and Coffee yang menghimpunkan 120 kereta antik.

Kenderaan paling lama yang turut dipamerkan ialah Ford GPW Jeep keluaran tahun 1944 yang juga merupakan kenderaan ketika Perang Dunia ke-2 dan sehingga kini masih boleh digunakan.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN