fb fb fb fb fb

Pak Nil mahu bertemu Menteri Komunikasi, cadang cipta aplikasi tempatan

Datuk Aznil Nawawi

KUALA LUMPUR, 4 Ogos- Pengacara dan juga selebriti popular Datuk Aznil Nawawi menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil susulan tindakan Meta yang menurunkan hantaran berkaitan Palestin menerusi platform media sosial milik syarikat berkenaan.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Nil berkata, pertemuan itu bagi mengemukakan cadangan mewujudkan aplikasi media sosial yang khusus untuk kegunaan rakyat Malaysia sebagai respons bagi menyelar tindakan berkenaan.

"Pak Nil ingin berjumpa dengan Menteri Komunikasi untuk kita wujudkan aplikasi media sosial sendiri. Tidak perlu pun aplikasi berkenaan popular hingga mendapat tumpuan masyarakat luar negara.

"Paling penting, kita ada pengikut dalam kalangan rakyat Malaysia sahaja. Artis tempatan yang ingin menjadi pempengaruh juga memerlukan pengikut daripada kalangan rakyat Malaysia," katanya menerusi satu klip video di instagram miliknya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu semua pengguna media sosial di negara ini untuk terus menyokong hasrat berkenaan bagi mendapatkan keadilan sekali gus menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

"...apa kata, Pak Nil mulakan operasi kita pula orang Islam menarik diri daripada terus menggunakan aplikasi yang mempunyai kaitan dengan Israel.

"Sebelum ini ada orang Meta berjumpa dengan selebriti, pempengaruh tempatan dan Asia Tenggara untuk mempromosi aplikasi berkenaan berikutan cabaran dari TikTok.

"Sekarang ni dia (Meta) pula nak ugut kita, sesiapa yang mengeluarkan cerita itu (Palestin), kandungan berkenaan akan dipadamkan," luahnya kecewa.

Lebih daripada 39,500 rakyat Palestin telah terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak 7 Oktober, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan hampir 91,300 cedera serta menyebabkan sebahagian besar Gaza bertukar bentuk kepada runtuhan.

Menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, bantuan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan turut disekat dalam tempoh serangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI