KUALA LIPIS, 4 Ogos - Sebanyak 42,500 ekor benih ikan spesis air tawar dilepaskan di Santuari Ikan Tanjung Gahai, Lipis, Pahang sebagai usaha meningkatkan keterjaminan makanan penduduk pedalaman di negeri itu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata, 40 ekor ialah ikan lampam, 1,000 ekor ikan patin buah dan 1,500 ekor ikan kelah.
Katanya Santuari Ikan Tanjung Gahai yang berkeluasan 1.5 kilometer merupakan pusat perlindungan ikan air tawar.
Sejak 2022 santuari itu dijadikan sebagai tempat larangan memancing dan menangkap ikan.
Ikan hanya akan dilepaskan ke sungai untuk manfaat nelayan darat dan pemacing selepas tempoh ikan tersebut sudah matang.
"Dengan demikian ia menjadi tempat untuk habitat ikan, tempat pembiakan yang mana ikan ini akan keluar dari tempat ini dan menjadi sumber tangkapan kepada nelayan darat dan juga menjadi tempat orang memancinglah," kata Abdullah, di sini.
Beliau berkata demikian selepas Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Sungai Pahang sempena Selamat pagi Malaysia @Kampung Tanjug Gahai, Lipis, Pahang.
Santuari tersebut dijaga My Komuniti Perikanan (My KP) yang terdiri daripada penduduk kampung.
Selain santuari yang menjaga sungai di kawasan itu, pelbagai aktiviti ekopelancongan disediakan seperti menyelusuri ikan, warung tepi sungai,aktiviti berkayak, jet ski, permainan ATV dan aktiviti perniagaan untuk merancakkan ekonomi penduduk.
"Jadi mendatangkan pendapatan menjana pendapatan kepada penduduk yang penting sekali jenamanya santuari adanya Tanjung Gahai, di sini dan memberi pendapatan kepada penduduk melalui aktiviti ekopelancongan," katanya lagi.
Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman, Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang Arifin Awang dan Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Pahang Muhamad Khairunizam Abdul Salam.