BALING, 4 Ogos - Sebanyak 250 keluarga kurang berkemampuan termasuk golongan petani dan penoreh getah di sekitar Baling, Kedah menerima sumbangan daripada Etiqa Takaful dan Islamic Aid Malaysia (IAM).
Sumbangan itu bersempena Program Jejak Prihatin peringkat Negeri Kedah di Dewan Terbuka Bonggor Baru, Kampung Dusun Raja, di sini, disampaikan oleh Pengurus Cawangan Etiqa Sungai Petani Zurina Da’ail dan Presiden IAM Zawahir Abdullah.
Penerima dari Kampung Bendang Darat, Kampung Bangor Gelugur, Kampung Tandop, Kampung Dusun Raja dan Kampung Tok Golok menerima pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan harian seperti beras, gula, susu, minyak masak, sardin, biskut dan lain-lain serta sejumlah wang tunai.
Menurut Zawahir, program tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa bersama komuniti anjuran IAM ini turut disertai oleh sukarelawan IAM dan juga kakitangan Etiqa dari wilayah utara.
Ia bertujuan membantu meringankan beban kesusahan yang dihadapi masyarakat kampung khususnya komuniti petani dan golongan kurang berkemampuan serta asnaf.
Katanya, selain Kedah program sama turut akan diadakan di Perak, Selangor, Johor, Pahang, Sabah, Sarawak, Terengganu serta Kelantan bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful kepada mereka yang benar-benar memerlukan.