fb fb fb fb fb

MAIS peruntuk RM19.4 juta tangani masalah sosial, aqidah 

26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS dan tiga lagi Rumah Pemulihan lain menerima peruntukan daripada MAIS

KLANG, 4 Ogos - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sebanyak RM19.4 juta pada tahun ini dalam usaha menangani masalah sosial dan aqidah di negeri Selangor. 

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peruntukan zakat asnaf riqab itu disalurkan dalam bentuk geran kepada institusi dan program pemulihan yang dilaksanakan oleh 26 Rumah Pemulihan Riqab di bawah MAIS dan tiga lagi Rumah Pemulihan lain.

"Kita berharapkan kumpulan riqab yang selalu terkongkong apabila mendapat bimbingan latihan daripada mudah mudahan mereka dapat sedar dan dapat membebaskan diri daripada kongkongan tersebut.

"Masih ada lagi yang mereka kadang-kadang dia tidak mahu mendaftarkan diri mungkin timbul salah faham atau pun rasa malu ke dan sebagainya.

"Sebab itu tujuan utama kempen ini untuk membantu mereka ini," katanya selepas Merasmikan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 di sini hari ini.

Tambahnya, sehingga Jun tahun ini, MAIS telah menyantuni seramai hampir 6,000 golongan asnaf riqab di negeri ini.

Mereka adalah yang terbelenggu dengan masalah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, orang Islam yang terpesong agama serta lain-lain seperti yang telah difatwakan pada tahun 2012.

MAIS juga telah melantik seramai 184 orang Guru Pembimbing Al Riqab bagi membantu golongan ini.

Justeru, bagi memberi peluang umat Islam mendekati golongan asnaf riqab, MAIS mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab 2024 yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini.

GRACE AISYAH KEDAYAN